Wednesday, January 30, 2008

Hotel 5 bintang pun sama...




Hari ni aku ke Seremban menghadiri kursus selama 3 hari. Oleh kerana rumah aku jauh, syarikat benarkan aku bermalam di Hotel Royal Bintang.

Aku menulis blog ni dari dalam bilik hotel. Maklumlah, memandangkan ini catatan aku yang pertama, meluap-luap rasanya semangat hendak mencari apa-apa yang boleh disumbatkan.

Masuk saja bilik terus tutup pintu. Semasa hendak kunci, tiba-tiba terpandang 'escape route' di pintu.

Cuba kita teliti bahasa apa yang berada diutamakan? Dahlah terjemahan dalam Bahasa Melayu pun salah. Tak taulah kalau-kalau pencetak papan tanda ni tak perasan atau tak tahu kepincangan maksud kedua-dua frasa Inggeris dan Melayu tu. Tapi ini hotel 5 bintang...

Pengamatan aku di Shanghai awal tahun lepas, semua tulisan utama tak kira di mana dibuat dalam bahasa mereka. Di mana letaknya martabat bahasa kita? Renung-renungkanlah...

Pembuka Bicara

Pertama sekali aku ingin menyusun sepuluh jari memohon maaf kepada sesiapa yang tersinggung dengan kewujudan laman ini. Tujuan aku hanyalah untuk menyedarkan kita semua betapa bobroknya bahasa ibunda kita, diperkotak-katikkan oleh orang-orangnya sendiri tanpa segan silu lagi.

Masih segar dalam ingatan ketika di Tingkatan 5. Hari-hari akhir sebelum menempuh peperiksaan SPM, guru Bahasa Melayu aku ada berpesan kepada kelas, "Hari ini mungkin hari terakhir dalam hidup korang belajar Bahasa Melayu. Jadi, buatlah SPM nanti dengan bersungguh-sungguh". Memang betul, tidak pernah terlintas di fikiran aku yang kata-kata beliau amat tepat, bukan sekadar pemanis mulut. Sejak ke Amerika Syarikat melanjutkan pelajaran sehinggalah ke hari ini, memang aku tak pernah belajar Bahasa Melayu lagi. 14 tahun sudah berlalu....

Namun dengan berbekalkan sisa-sisa ilmu, aku telah gagahi jari-jari ini untuk cuba menulis dengan sedaya upaya agar semangat bahasa tidak luntur daripada jiwa. Hakikatnya, ia amat payah dan amat janggal. Mungkin pertuturan seharian yang sudah dicorakkan dengan anasir-anasir bahasa dari luar menggandakan kesulitan otak ini untuk berirama seiringan dengan penulisan ini.

Dalam pada kita seolah-olah menyanjungi bahasa , ingin mengangkatnya sebagai satu bahasa agung, kita seringkali lalai. Kita alpa akan tanggungjawab dan keikhlasan kita memartabatkannya. Kita bersahaja apabila Bahasa Melayu menjadi bahasa kelas kedua apabila rata-rata Bahasa Inggeris dijadikan idola dalam bidang pengiklanan di media cetak mahupun di jalan-jalan. Kita juga hanya mampu tertawa apabila kesalahan nahu dan ejaan menjadi bahan tontonan awam, seoalah-olah satu jenaka.

Jadi, apa salahnya sekiranya aku menggunakan kecanggihan teknologi ini untuk mendedahkan kecacatan yang menyakitkan mata. Semoga pihak yang bertanggungjawab lebih berhati-hati pada masa hadapan. Janganlah Bahasa Melayu ibarat melukut di tepi gantang, dibuang tak luak, ditokok tak bertambah.

Cuma satu perkara aku minta, janganlah nukilan aku selepas ini diadili. Idea yang cuba aku curahkan di sini biarlah serasi dengan kepantasan aku berfikir. Aku sedar aku hanya orang Melayu biasa yang bertutur seperti orang kebanyakan. Ini hakikat. Kita bertutur dan menulis jauh sekali rasinya. Matlamat aku, biarlah penulisan rasmi Bahasa Melayu diambil berat. Setidak-tidaknya, walaupun kota telah roboh, biarlah pasaknya berkekalan.

Sekian..